KUALA LUMPUR 23 Jun - Malaysian Airlines Sistem Bhd. (MAS) menyasarkan 10 peratus pelanggannya di KL Sentral akan menggunakan sistem layan diri iPad MHkiosk yang mula beroperasi hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, MAS menawarkan promosi pengecualian bayaran perkhidmatan selama enam bulan jika menggunakan kiosk tersebut.
Menurutnya, mesin kiosk yang menggunakan teknologi iPad tersebut merupakan yang pertama di dunia dan dijangka melancarkan urusan pembelian tiket di kaunter. "Kaunter MAS di KL Sentral merupakan yang paling sibuk ketika ini dengan purata kehadiran 900 pelanggan sehari.
"Selain membeli tiket, pelanggan juga boleh membuat semakan jadual penerbangan, jumlah kerusi, status bagasi dan status tempahan yang sudah dilakukan," katanya selepas majlis pelancaran kiosk berkenaan di KL Sentral, di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pengurus Besar Pengedaran MAS, Abdul Mutalib Ishak dan Ketua Pegawai Teknologi SITA, Renaud Irminger. Tengku Azmil Zahruddin berkata, aplikasi yang digunapakai dalam sistem kiosk ini hampir sama dengan MHmobile yang dilancarkan dua bulan lalu.
"Ia mudah dikendalikan tanpa sebarang manual dan pelanggan hanya perlu melalui tiga langkah mudah," katanya.
"Sistem ini dijamin selamat dan pelanggan akan menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (sms) dan e-mel apabila transaksi berjaya," jelasnya.
Beliau berkata, MAS menetapkan tempoh enam bulan percubaan terhadap sistem baru ini sebelum dikembangkan ke tempat lain.
Katanya, sistem kiosk dan MHmobile merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai RM450 juta yang dibuat MAS bagi tempoh lima tahun dalam meningkatkan piawaian perkhidmatannya.
Mengulas keberkesanan MHmobile, Tengku Azmil Zahruddin berkata, pada peringkat awal penggunaanya agak lembap tetapi mula meningkat selepas sebulan pelancarannya.
"Peningkatan penggunaan telefon mudah alih yang mempunyai aplikasi Internet menjadi faktor utama keberkesanan sistem ini.
"MHmobile boleh diakses melalui lebih 170 jenis telefon mudah alih yang terdapat di pasaran," jelasnya.
No comments:
Post a Comment