Blog ini memcangkupi segala aspek umrah... insyallah

  • Breaking News

    Monday, June 14, 2010

    Pengalaman Zed Zaidi di tanah Arab


    Oleh NIEZAM ABDULLAH

    Kalau tak melawat Piramid, tak sahlah berkunjung ke Mesir. KEDATANGAN tahun 2010 membawa makna yang amat mendalam buat pelakon Zed Zaidi. Mana tidaknya, dalam tahun ini juga dia mendapat peluang menjadi seorang pemimpin sebagai ketua Biro artis Muda, persatuan Seniman Malaysia (Seniman).


    Dalam masa yang sama juga rezeki Zed melimpah ruah apabila peluang berlakon untuknya datang mencurah-curah. Memanjat syukur ke hadrat ilahi, Zed tidak pernah melupakan rahmat itu. Bak kata insan bernama penuh Rozaidi Abdul Jamil ini, jika ada rezeki lebih, “yang Satu” jangan dilupa.


    Benar Zed, yang satu dimaksudkan Zed itu adalah Tuhan Maha Esa. Pada 16 hingga 19 Mac lalu Zed buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Mekah bagi mengerjakan umrah.
    Sudah lama hatinya terdetik untuk memijak bumi bertuah itu tetapi masih belum sampai serunya.


    Tetapi syukurlah, Allah menjemput Zed sebagai tetamu-Nya di Tanah Suci itu selepas segala penat lelah dia bekerja mencari rezeki selama ini. Sebelum ke Mekah, rombongan Zed singgah terlebih dahulu di Mesir selama empat hari.


    Bercerita pengalaman pertama kali dia berkunjung ke negara Arab itu banyak peristiwa lucu dan pelik sekali.


    Yalah... memang banyak benda yang pelik jarang dilihat Zed di negara sendiri.
    Bak kata pepatah, jauh berjalan, luas pemandangan. Benar sekali ungkapan itu kerana kita sering melihat perkara berbeza setiap kali berada di tempat orang. Berada di Mesir sebelum menunaikan umrah, menurut Zed dia berpeluang melawat banyak tempat-tempat menarik di negara itu.


    Antaranya kubu Iskandariah dan laut Mediterranean yang luas terbentang membiru.
    Wah... seronok melihat tempat orang apatah lagi berpeluang bergambar serta melawat Piramid, salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. “Selain itu saya amat teruja apabila diberi kesempatan untuk melawat makam Imam Syafie yang menjadi mazhab ikutan kita,” katanya.
    Selama di Mesir, dia banyak minum air buah-buahan yang terbaik dan tidak pernah dirasai di tempat sendiri. Kata Zed, jus mangga dan air buah-buahan lain memang begitu lazat dan segar. Rasanya sungguh manis sekali. Buah-buahan itu dikisar tanpa dicampur dengan bahan-bahan lain dan seterusnya dihidang untuk pelanggan.


    Cuma pengalaman yang tak boleh dilupakan apabila Zed melihat kepingan roti kebab jatuh di tanah tetapi peniaganya masih menjual makanan yang tercemar itu. “Saya lihat dia ambil dan sapu habuk-habuk yang melekat lalu dia jual macam biasa. Tak tergamak saya nak beli,” katanya. Selain peristiwa itu Zed yang berpakaian jubah di Mesir disangkakan lelaki Korea.
    Mungkin wajahnya seakan-akan penduduk negara itu maka setiap kali berjalan dia akan disapa oleh orang Arab dengan bertanya adakah dia orang Korea atau tidak.


    Katanya, antara peristiwa lain yang tidak dapat dilupakan apabila dua individu sedang bergaduh gagal untuk dileraikan oleh orang yang menyaksikan insiden berkenaan. Kerana masalah tidak dapat diselesaikan, akhirnya pihak polis tiba dan terus melempang kedua-dua mereka. “Selepas kena lempang dengan polis, barulah masalah itu dapat diselesaikan dan kedua-duanya beredar. Pelik betul orang Arab ini,” katanya. Kerana tidak sukakan daging kambing dan unta, Zed terpaksa menjadikan roti dan buah-buahan sebagai makanan utamanya selama tiga hari berada di Mesir.


    Kisah di Madinah dan Mekah ...


    Penerbangan dari Mesir ke Jeddah mengambil masa antara tiga hingga empat jam.
    Kata Zed semasa di Madinah dia bersyukur kerana dapat beribadat di Raudhah, salah satu tempat yang dimakbulkan doanya. Selain itu Zed juga berpeluang menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w serta makam para sahabat yang lain. Bercerita pengalaman di Mekah, Zed amat teruja untuk melihat kebesaran Kaabah sehingga membuatkan air matanya menangis ketika beroda.


    Kerana malu dilihat oleh mana-mana orang yang mengenalinya, maka kadang-kala Zed terpaksa menutup mukanya dengan kain serban kerana tidak mahu ibadatnya terganggu. “Tapi ada juga orang yang tegur saya. Kalau boleh saya tak mahu pun orang kenal sebab kita nak beribadat,” ujarnya. Menurutnya semasa di Kaabah dia tidak berpeluang untuk mencium Hajarul Aswad walaupun mencubanya sebanyak tiga kali.


    Mungkin tiada rezeki tetapi Zed tidak berputus asa melakukan ibadat yang lain dan berpeluang menjalani solat di saf pertama di hadapan Kaabah. Dalam masa yang sama sepanjang di Mekah itu Zed berpeluang mengusung jenazah umat Islam yang setiap hari meninggal dunia.


    Tiga kali doa memohon jodoh ...


    Bercakap mengenai doa yang dipohon di Tanah Suci itu, Zed tidak mahu berselindung yang dia memohon kepada Allah ditemukan jodoh dengan isteri yang baik. Apabila mencecah usia 30 tahun, dia sebenarnya sudah bersedia untuk bergelar seorang suami tapi sayangnya jodohnya masih belum tiba. “Peluang yang ada ketika menunaikan umrah itu saya gunakan betul-betul. Nak tahu tak... saya pohon doa sebanyak tiga kali daripada Allah. “Saya minta dia berikan saya seorang isteri yang beriman. Saya ulang tiga kali doa itu berbanding doa yang lain,” katanya yang benar-benar berharap doa itu akan dimakbulkan.


    No comments:

    Post a Comment

    MASIH BEKERJA DAN INGIN MEMBINA PART-TIME INCOME?

    MASIH BEKERJA DAN INGIN MEMBINA PART-TIME INCOME?
    klik image dibawah untuk terus ke whatapps

    nota umrah

    Selamatkan Gaza

    Tabung Palestin HALUAN
    (Maybank Berhad) 5-644-902-085-28

    Mari sama-sama kita menabung untuk SAHAM AKHIRAT,

    TAKBIR ... ALLAHUAKHBAR!!!!

    Panduan Umrah Bagi Yang Masih KELIRU

    Panduan Umrah Bagi Yang Masih KELIRU
    Sebuah panduan bagi jemaah yang pertama kali hendak menunaikan umrah.

    Popular Posts

    Labels

    agensi (12) artikel (33) haji (1) makanan (3) tips (10) umrah (12) ziarah (13)